UM anjur program larian Against Domestic Violence

KUALA LUMPUR 4 Sept. – Jabatan Perubatan Kecemasan dan Kelab Jururawat Universiti Malaya (UM) menganjurkan program 5 kilometer Run Against Domestic Violence pada 27 Oktober ini.

Program itu bermula pukul 6 hingga 11 pagi itu turut mendapat kerjasama Pusat Perubatan Universiti Malaya, Amanita, Polis Diraja Malaysia.

Larian dibahagikan kepada empat kategori iaitu Kategori A (5 KM Terbuka Lelaki) , Kategori B (5 KM Terbuka Perempuan), Kategori C (5 KM Pelajar UM & COHES Lelaki) dan Kategori D (5 KM Pelajar UM & COHES Perempuan)

UM dalam kenyataannya berkata, larian yang berlangsung di UM Arena, Stadium Sains Sukan, Universiti Malaya sebahagian kempen menentang masalah keganasan rumah tangga yang memberi kesan terhadap wanita dan lelaki dari segi fizikal dan mental.

Keganasan rumah tangga adalah satu-satunya masalah yang jarang dilaporkan dan mangsa kerap mendiamkan diri disebabkan malu serta tidak ingin dicela atau dipandang rendah oleh masyarakat.

Pandangan negatif ini perlu diubah dalam masyarakat, sekiranya mangsa enggan menyuarakan penganiayaan yang berlaku keatas diri mereka, maka bantuan yang sewajarnya dari segi perawatan, psikososial dan medikolegal tidak dapat diberikan.

“Oleh itu, Jabatan Perubatan Kecemasan, PPUM berhasrat untuk menganjurkan 5km Run Against Domestic Violence. Program ini adalah untuk memberi kesedaran kepada masyarakat mengenai Domestic Violence dan bagaimana untuk mendapatkan pertolongan jika perkara ini terjadi kepada mereka,” kata kenyataan itu.

Program 5km Run Against Domestic Violence bertujuan untuk meningkatkan kesedaran orang awam mengenai keganasan rumah tangga.

Selain itu juga ia dapat menyalurkan maklumat kepada orang awam bagaimana dan di mana bantuan boleh diperolehi sekiranya perkara ini berlaku di samping dapat menerapkan gaya hidup sihat di kalangan peserta pelbagai kategori usia dan latar belakang justeru dapat meningkatkan kesihatan mental dan fizikal melalui senaman dan larian.

Aktiviti yang akan dijalankan adalah seperti berikut:

• Senamrobik/Zumba

• Larian

• Cabutan bertuah

• Booth maklumat Women’s Aid Organisation (WAO) dan All Women’s Action Society (AWAM) untuk mendapatkan maklumat dan bantuan bantuan.

• Booth maklumat Polis Diraja Malaysia berkaitan pencegahan jenayah dan keganasan rumahtangga.

Oleh yang demikian, diharapkan agar orang ramai dapat mengambil bahagian dalam program yang julung kalinya diadakan ini sebagai tanda sokongan demi membanteras keganasan rumahtangga bertepatan dengan tema program ini “Break The Silence #speakout”. Maklumat berkaitan program ini boleh dicapai di laman web https://sites.google.com/view/eddvrun2018 dan laman Facebook EDDVRUN. Semua dijemput hadir.

Sumber: Utusan Online