fbpx

Tambah aksesori elegan

Kuala Lumpur: UMW Toyota Motor Sdn Bhd melalui Lexus Malaysia sebagai pengimport dan pengedar sah kenderaan jenama Lexus di negara ini memperkenalkan varian terbaru RX300 untuk pasaran tempatan.

Model Lexus RX300 Special Edition adalah varian ketujuh untuk model itu dengan enjin petrol 2.0 liter pengecas turbo yang menjana kuasa kuda 235 PS dan daya kilas 350 Nm serta transmisi 6 kelajuan (6 ECT) pacuan semua roda.

Kenderaan Utiliti Sukan (SUV) ini berkongsi spesifikasi yang sama dengan varian RX300 Luxury namun ditambah dengan beberapa aksesori dipadankan dengan penggayaan tulen Lexus yang meningkatkan fungsi tambahan serta ketrampilan luaran.

Lexus RX300 Special Edition dijual daripada harga RM434,000 (termasuk Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) dengan lima tahun waranti pengeluar tanpa had perbatuan ditawarkan.

Model yang sudah memasuki generasi keempat ini tampil dengan bahagian hadapan dipasangkan panel bawah badan kenderaan untuk melindunginya daripada batu dan objek lain yang bukan saja bergaya malah menjadikan rekaan tambah elegan.

Ia juga disekalikan dengan tangga sisi selapis untuk kedua-dua bahagian bagi memudahkan urusan keluar masuk terutama kepada warga tua dan kanak-kanak kecil.

Visor rekaan khas dipasang pada tingkap bagi mengelakkan air hujan masuk ke dalam kabin kereta yang turut ditambah dengan ciri laluan yang meminimumkan kemasukan angin walaupun tingkap dibuka sedikit ketika bergerak.

Untuk ruang kargo belakang, ia kini dipasang dengan pelindung tangga pada bahagian hujung bawah pintu belakang bagi melindunginya daripada calar dan kotoran terutama ketika urusan keluar dan masuk barangan.

Falsafah Lexus tentang hospitaliti dicerminkan pada Lampu Pintu Selamat Datang yang akan menyala setiap kali dibuka bersama paparan logo Lexus berhampiran kawasan pintu supaya jelas dan mudah dilihat untuk mengelakkan daripada air dan lubang terutama parkir dalam cuaca gelap.

Dua aksesori lain yang turut dipasang pada RX300 Special Edition ini ialah pengimbas kad Touch ‘n Go yang membolehkan ia melalui laluan Smart Tag di plaza tol untuk kemudahan pemandu.

Model ini dilengkapi Perakam Video Digital (DVR) bagi tujual visual perjalanan dan bukti utama jika berlaku kejadian kemalangan yang terletak kemas di belakang cermin pandang belakang.

Semua aksesori yang didatangkan untuk model RX300 Special Edition ini memenuhi standard dan kualiti tinggi dipasang oleh kakitangan Lexus yang terlatih dan profesional di Pusat Aksesori UMW Toyota di Bukit Raja Selangor.

Sumber: HarianMetro