fbpx

Nahas Pesawat Lion Air: Belum dipastikan rakyat Malaysia terbabit

JAKARTA – Jurucakap Kedutaan Besar Malaysia di Jakarta menyatakan pihak kedutaan sedang berusaha mendapatkan maklumat lengkap berkenaan senarai penumpang pesawat Lion Air telah terhempas di perairan Karawang, Jakarta Utara hari ini.

Setakat ini belum dapat dipastikan sama ada rakyat Malaysia turut terbabit dalam nahas pesawat itu.

Pihak berkuasa Indonesia telah mengesahkan pesawat Lion Air terhempas di perairan Karawang, Jakarta Utara.

Ketua Bahagian Kerjasama dan Perhubungan Awam Perhubungan Udara Indonesia, Sindu Rahayu berkata, pesawat yang membawa seramai 181 penumpang dan tujuh anak kapal itu dilaporkan terhempas di koordinat 05 46.15 S – 107 07.16 E, selepas berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Soekarno-Hatta pada 6.20 pagi tadi.

“Operasi mencari pesawat itu sedang dilakukan,” katanya.

Pesawat JT610 dalam perjalanan dari Jakarta menuju ke Pangkal Pinang itu terputus hubungan selepas 10 minit berlepas.

Pesawat itu sepatutnya tiba di Lapangan Terbang Pangkal Pinang pada pukul 7.10 pagi waktu Indonesia barat (8.10 pagi waktu Malaysia). – Bernama

Source: KosmoOnline