fbpx

Mara lanjut tarikh permohonan kemasukan ke MRSM sesi 2019

SERDANG: Permohonan kemasukan pelajar ke Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) sesi pembelajaran 2019 bagi Tingkatan 1 dilanjutkan kepada 4 Disember 2018, kata Datuk Seri Rina Mohd Harun.

Langkah ini berikutan keputusan Ujian Penilaian Sekolah Rendah (UPSR) akan diumumkan esok (29 Nov), kata Menteri Pembangunan Luar Bandar itu menurut laporan Bernama.

Rina bercakap pada sidang media selepas melawat Rural Business Outlet kementeriannya sempena MAHA 2018 di MAEPS hari ini. Turut kelihatan, timbalan beliau, R Sivarasa (kiri). –fotoBERNAMA

“Sebelum ini, kita iklankan tarikh tutup permohonan adalah pada 30 Nov, tetapi kini dilanjutkan kepada 4 Dis.

“Lanjutan masa ini dilakukan untuk memberi masa kepada pelajar yang berkelayakan membuat permohonan ke MRSM sejurus keputusan UPSR diumumkan nanti, sekali gus mengelak timbulnya masalah pembayaran yuran dan proses pertukaran sekolah.

“Sementara bagi kemasukan Tingkatan 4, tarikh tutup permohonan akan dimaklumkan berdasarkan tarikh pengumuman rasmi peperiksaan PT3 kelak,” katanya.

Beliau bercakap kepada pemberita di Program Walkabout ke RBO@KPLB Sempena Ekspo Pertanian Hortikultur dan Agropelancongan Malaysia 2018 (MAHA 2018) di Tapak Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) hari ini.

Rina berkata, semakan keputusan kemasukan ke MRSM bagi sesi kemasukan 2019 boleh dilakukan secara atas talian bermula 21 Dis melalui pautan rasmi Majlis Amanah Rakyat (MARA) iaitu www.mara.gov.com.

“Pendaftaran kemasukan ke Tingkatan 1 MRSM pula akan bermula pada 14 Januari 2019. Kita yakin pendekatan ini akan lebih memudahkan ibu bapa dan pelajar terpilih membuat persiapan dan perancangan lebih awal,” katanya.

Menurutnya, setakat 26 Nov, jumlah permohonan bagi kemasukan ke Tingkatan 1 adalah seramai 69,261 pemohon manakala bagi Tingkatan 4 seramai 23,082 pemohon.

“Kuota maksimum pengambilan pelajar baru di 54 buah MRSM bagi tahun hadapan adalah 7,760 bagi Tingkatan 1. Bagi Tingkatan 4, adalah 2,245 tempat. Untuk kemasukan kali ini, pihak kami akan memberi tumpuan kepada pemohon daripada kumpulan B40 terutama di kawasan luar bandar,” katanya.

 

Source: AstroAwani