fbpx

Hua Yang sasar jualan RM400 juta

KUALA LUMPUR 29 Ogos – Hua Yang Bhd. (Hua Yang) menyasarkan jualan sebanyak RM400 juta dan optimis mampu mencapai sasaran tersebut bagi tahun kewa­ngan 2019.

Ketua Pegawai Eksekutif Hua Yang, Ho Wen Yan berkata, sasaran itu turut dipacu oleh pelancaran projek-projek baharu di perbandaran sedia ada dan di Bukit Mertajam, Pulau Pinang.

Katanya, prospek industri pembinaan yang dilihat positif pada tahun ini juga dijangka menjadi antara faktor yang me­ng­ukuhkan keyakinan syarikat mencapai sasaran jualan berke­naan.

“Tahun lalu syarikat merekodkan jualan sekitar RM220 juta di sebalik kelembapan industri hartanah, namun kami percaya de­ngan penawaran lebih banyak hartanah mampu milik serta jualan hartanah sedia ada syarikat akan mampu merekodkan jualan yang lebih baik pada tahun ini,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Agung Tahunan Hua Yang di sini hari ini.

Dalam perkembangan lain Wen Yan berkata, syarikat tidak me­ran­cang untuk membuat sebarang pengambilalihan tanah baharu bagi meningkatkan jumlah bank tanahnya dalam tempoh terdekat berikutan pasaran hartanah yang dijangka kekal mencabar.

“Strategi syarikat pada tahun ini adalah untuk memberi fokus terhadap pelancaran baharu dan meletakkan lebih banyak penekanan terhadap inisiatif pemasaran bagi mempromosikan produk jualan yang lebih kukuh,” kata­nya.

Sehingga akhir Mac 2018, Hua Yang memiliki bank tanah berjumlah 192.63 hektar dengan anggaran nilai pemba­ngunan kasar sebanyak RM5.2 bilion, manakala jualan tidak dibilkan berjumlah RM179 juta.

Hua Yang merekodkan keuntungan selepas cukai berjumlah RM4.4 juta bagi tahun kewangan 2018, susut RM60.9 juta berban­ding tahun sebelumnya.

Bagi tahun kewangan tersebut, jualan daripada projek pemba­ngunannya di Johor menyumbang 35 peratus atau RM78 juta kepada hasil jualan tahunan syarikat diikuti Lembah Klang sebanyak 26 peratus (RM57 juta); Perak 21 Peratus (RM46 juta); Pulau Pinang 14 peratus (RM32 juta) dan Negeri Sembilan empat peratus (RM9 juta).

Sumber: Utusan.com