fbpx

225 Proton ke Mesir

Kuala Lumpur: PROTON mencatat satu lagi aktiviti eksport bagi 2018 di mana sebanyak 225 kereta Proton akan dihantar ke Pelabuhan Alexandria, Kaherah, Mesir.

Penghantaran yang akan dilakukan esok melalui Pelabuhan Utara, Klang dijangka tiba di Kaherah pada 6 Oktober nanti.

Di lokasi itu, kenderaan berkenaan akan dikendalikan pengedar PROTON di Mesir iaitu Alpha Ezz El-Arab melalui tujuh cawangan dan pengedar.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif PROTON, Datuk Radzaif Mohamed berkata, penghantaran itu menandakan eksport pertama kenderaan Proton ke Mesir sejak hampir tiga tahun lalu.

“Eksport yang terakhir merangkumi 320 unit Proton Gen 2 dan Persona pada Disember 2015 sebelum penyusutan nilai mata wang tempatan yang menjadi penghalang untuk meletakkan harga yang kompetitif bagi kenderaan PROTON,” katanya, semalam.

Menurutnya, usaha yang dipamerkan oleh pengedar dan eksport alat ganti secara berterusan telah memastikan keperluan pengguna tempatan dapat dipenuhi sementara menunggu pemulihan ekonomi.

Katanya, dengan keadaan pasaran yang bertambah baik, PROTON kini berpeluang untuk melakukan semula aktiviti eksport dan memanfaatkan pasaran automotif yang dijangka mengalami pertumbuhan ketara pada Jumlah Keseluruhan Industri (TIV) dalam masa beberapa tahun akan datang.

“PROTON berasa teruja kerana berpeluang untuk mengeksport kenderaan di pasaran yang pada masa dahulu terbukti menjadi pilihan pembeli.

“Pembeli di negara itu menghargai keselamatan, keutuhan dan nilai harga jualan semula yang tinggi pada kereta Proton iaitu kualiti yang terbukti pada tiga model termasuk Saga dan Exora yang bakal dilancarkan di Kaherah, Oktober nanti.

“Untuk memastikan stok mencukupi, pengedar telah menempah 280 unit lagi yang akan dihantar bulan hadapan dengan sasaran sebanyak 1,000 unit kereta pada tahun ini,” katanya.

Selain meneruskan penjualan kereta baru di Mesir, Alpha Ezz El-Arab juga akan memperkenalkan identiti korporat baru PROTON di tiga cawangan dan menjadi pengedar luar negara pertama menggunakan identiti baru PROTON.

“Langkah untuk menggunakan identiti korporat baru menunjukkan pengedar kami bergerak seiring matlamat kami untuk mewujudkan pengalaman jenama dan imej PROTON yang konsisten di peringkat antarabangsa,” katanya.

Sumber: HarianMetro