fbpx

AirAsia perkukuh kehadiran di China

 

KUALA LUMPUR – Air­Asia Bhd. (AirAsia) akan terus memperluas kedudukannya di China dan meningkatkan kekerapan penerbangan, walaupun janji niaga untuk mewujudkan terminal tambang rendah (LLCT) di negara itu menemui kegagalan.

Pengerusi Eksekutif AirAsia dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Bersama AirAsia X, Datuk Kamarudin Meranun berkata, syarikat penerbangan itu mungkin mempertimbangkan semula rancangannya untuk mewujudkan LCCT di China apabila tiba masa yang sesuai.

“Kami masih akan mengembangkan pasaran China, namun (akan) membangunkannya tanpa lesen tempatan.

“Satu-satunya perkara yang dikenakan ke atas kami adalah AirAsia tidak boleh menawarkan penerbangan domestik.

“Sungguhpun itu, syarikat ini merupakan peserta yang agak penting di China dan akan kekal sedemikian,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pembe­rita selepas pertukaran memorandum persefahaman (MoU) antara AirAsia Indonesia dan Majlis Pelanco­ngan Penjagaan Kesihatan Malaysia (MHTC) di sini semalam.

Pada Khamis lalu, syarikat penerbangan tambang rendah itu mengumumkan bahawa perjanjian awal yang ditandatangani tahun lepas untuk usaha sama dengan China Everbright Group dan kerajaan Henan telah luput dan tidak akan dilanjutkan.

Kamarudin berkata, pihaknya tidak berhasrat memperbaharui perjanjian tersebut atas beberapa faktor termasuk AirAsia tidak akan memperoleh lesen operasi domestik di China memandangkan kerajaan negara itu tidak lagi mengeluarkannya.

Beliau menambah, AirAsia juga tidak mempunyai syarikat penerbangan yang sesuai bagi usaha sama di sana, sama ada dari segi kedudukan kewangan atau operasi.

“Bagi kami, kecuali diberikan jaminan dapat beroperasi secara cekap, mempunyai persai­ngan yang adil dan infrastruktur sesuai tersedia, mengapa perlu kami melaksanakannya?

“Ia bukan sekadar memperoleh lesen kerana memastikannya sebagai operasi yang berjaya merupakan perkara muktamad mengenai usaha sama itu,” ­jelasnya. – Bernama

Mengenai MoU semalam, AirAsia Indonesia dan MHTC menjalinkan kerjasama untuk menawarkan perkhidmatan pelancongan perubatan terbaik kepada rakyat Indonesia, selain mempromosikan Pulau Pinang sebagai destinasi pelancongan penjagaan kesihatan.

MHTC akan menawarkan perkhidmatan menguruskan perjalanan pelancongan perubatan termasuk janji temu doktor dan hospital serta khidmat pengangkutan dari lapangan terbang bagi pelanggan yang menggunakan penerbangan AirAsia dari Indonesia ke Pulau Pinang bagi rawatan.

AirAsia juga akan menawarkan diskaun tambang penerbangan eksklusif kepada pelanggan MHTC dan AirAsia dengan janji temu yang ditetapkan lebih awal.

Pelanggan MHTC turut akan menikmati faedah tambahan di hospital yang mengambil bahagian, termasuk diskaun sehingga 20 peratus ke atas pemeriksaan perubatan dan bil bukan perubatan serta di kedai-kedai makanan dan minuman terpilih hanya dengan menunjukkan pas masuk mereka.

Sumber: KosmoOnline