fbpx

Capai impian bergelar usahawan ayam daging

BAGAN DATUK 22 Julai – Kurang pengetahuan mendalam tentang aspek penternakan tidak menjadi penghalang bagi Abdul Aziz Mokhtaq untuk menceburi bidang tersebut.

Dengan berbekalkan semangat dan keinginan untuk maju sekali gus mencapai impian bergelar usahawan ternakan ayam da­ging, lelaki berusia 43 tahun itu mengambil langkah berani bergiat dalam bidang berkenaan sejak tiga tahun lalu.

Langkah itu ternyata berbaloi apabila usaha yang dimulakan dengan 65,000 ekor anak ayam pada 2015 kini berkembang sehingga 75,000 ekor anak ayam dengan tiga reban disediakan bagi menampung kesemua ternakan tersebut.

Malah hasil usaha yang dilaksanakan secara tekun dan berterusan itu membolehkannya menerima pengiktirafan daripada Jabatan Perkhidmatan Vaterinar sebagai Usahawan Berdaya Maju di Bagan Datuk.

Menurut Abdul Aziz, dia memulakan perniagaan menerusi Syarikat Ternakan Ayam A & Z Cergas Enterprise dengan menggunakan modal sendiri untuk pasaran ayam daging di sekitar daerah ini.

Dia berkata, hasil sokongan penduduk Kampung Tebuk Che Agus, Selekoh, perniagaannya semakin maju sehingga membolehkannya beroleh pendapatan lumayan.

Abdul Aziz menambah, lokasi ladang ternakan ayamnya itu yang terletak di kawasan tanah pertanian berhampiran Sungai Perak, Bagan Datuk juga sangat sesuai untuk aktiviti pertanian dan ternakan.

“Saya tidak ada ilmu tentang ternakan tetapi saya belajar dan mengambil kursus anjuran Jabatan Perkhidmatan Veterinar dan agensi swasta untuk memajukan diri dalam perusahaan ini.

“Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Bagan Datuk dan pihak lain juga banyak memberi bantuan seperti inkubator dan reban ayam manakala Jabatan Perkhidmatan Veterinar pula membantu daripada aspek kursus dan perubatan,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Abdul Aziz berkata, ekoran permintaan tinggi terhadap ayam daging, dia kini merancang untuk mewujudkan satu lagi tapak reban ternakan ayam daging.

Menurutnya, langkah itu juga bagi mewujudkan peluang pekerjaan kepada golongan muda di kampung tersebut serta membolehkan mereka belajar mengenai cara-cara memproses ayam dan ternakan.

“Sekiranya kita laksanakannya secara tekun dan berterusan, bidang ternakan ini mampu me­ngubah kehidupan kita,” katanya.

Menceritakan pengalamannya, Abdul Aziz berkata, dia pernah mengalami kerugian beratus ribu ringgit apabila puluhan ribu ayam yang hendak dijual ditemukan mati tanpa diketahui puncanya.

Katanya, kejadian itu memberi tekanan kepadanya namun dia menganggap kes tersebut sebagi ujian dan cabaran awal untuknya sebelum beroleh kejayaan.

“Bayangkan sebanyak 16,000 ekor ayam mati dan saya tidak tahu kenapa. Jika seekor ayam itu dijual dengan harga RM10 seekor, saya telah alami kerugian kira-kira RM160,000.

“Walau bagaimanapun, dengan sokongan keluarga terutamanya isteri, kawan-kawan dan penduduk kampung, saya bangun semula bersemangat untuk memajukan ternakan ayam daging bagi membuktikan saya juga boleh maju seperti orang lain,” katanya.

Sumber: Utusan Online