fbpx

CCCC tinjau peluang di Malaysia

BEIJING – China Communications Construction Company (CCCC) sentiasa aktif meninjau peluang pelaburan untuk membantu membangunkan Malaysia termasuk meninjau pembangunan berorientasikan transit (TOD) di sepanjang Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL).

Naib Presidennya, Sun Ziyu (gambar) berkata, pihaknya juga berhasrat untuk melabur dalam industri sasaran di sepanjang ECRL selain menerajui pelaburan dari China dan negara-negara lain

“Di samping pembangunan infrastruktur, CCCC juga berharap dapat menyertai bidang lain se­perti pembangunan hartanah dan pembangunan bandar,” katanya kepada delegasi media Malaysia yang diketuai oleh wakil Kedutaan China di Kuala Lumpur, di ibu pejabat Kumpulan CCCC dekat sini kelmarin.

Sun menjelaskan, langkah itu berikutan peranan penting aspek pembangunan infrastruktur dalam ekonomi sesebuah negara selain menjadi pemacu utama pertumbuhan ekonomi.

Menurutnya, pengli­batan CCCC dalam projek mega di Malaysia memberi tumpuan khusus kepada kehidupan penduduk tempatan.

Sebagai contoh, katanya, pembabitan CCCC dalan projek Transit Aliran Massa (MRT) dan Transit Aliran Ringan (LRT) di Kuala Lumpur akan membantu mengurangkan kesesakan lalu-lintas, manakala projek di Pelabuhan Klang dan Kuantan pula akan menyuntik pertumbuhan pembangunan kawasan itu.

“Bagi ECRL, 50 peratus daripada tenaga kerja kami merupakan penduduk tempatan dan angka itu boleh mencecah sehingga 70 peratus dengan kehadiran beberapa juruteknik khas dari China,” katanya.

Sun berkata, CCCC juga komi­ted untuk menumpukan aspek tempatan sebanyak mungkin dalam usaha mengurangkan masa penghantaran dan kos serta menyifatkan langkah pemberian subkontrak tempatan juga dapat meningkatkan kecekapan pengurusannya.

“Setakat ini, seramai 500 pembekal, 157 subkontraktor dan 91 perunding tempatan bertugas dengan CCCC.

“Kami hanya menimbang pembelian (bahan keperluan) dari negara lain apabila tiada bahan atau peralatan terbabit di pasaran tempatan seperti mesin pengorek terowong (TBM).

“Pada masa sama, kami turut memberi tugasan subkontrak kerja utama kepada syarikat tempatan.

“(Oleh itu) projek mega CCCC di Malaysia dapat memacu pertumbuhan ekonomi, mewujudkan peluang pekerjaan, me­ningkatkan bakat tempatan, memanfaatkan sepenuhnya sumber-sumber tempatan selain memberi manfaat kepada masyarakat setempat,” kata­nya.

Beliau berkata, Malaysia juga akan kekal sebagai pasaran pilihan bagi perniagaan luar CCCC dan komitmennya untuk pembangunan kerjasama dengan syarikat tempatan tidak berubah walaupun berdepan krisis kewangan dan ketidaktentuan perdagangan sebelum ini.

Sumber: KosmoOnline