fbpx

SST bukan petunjuk utama penurunan harga rumah

KUALA LUMPUR: Pelaksanaan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) semata-mata, tidak membolehkan penurunan harga rumah dapat dilakukan secara drastik, sebaliknya perlu disokong oleh pengurangan kos lain termasuk kos pematuhan serta kos komponen pembangunan.

Presiden Persatuan Pemaju Hartanah dan Perumahan (REHDA) Malaysia, Datuk Ir Soam Heng Choon, berkata pelaksanaan SST secara dasarnya boleh mengurangkan harga rumah, namun ia hanyalah sebahagian kecil faktor yang membantu kepada penurunan itu.

“Banyak lagi kos lain yang terpaksa ditampung pemaju dan masalah itu perlu diteliti dengan sebaiknya bagi membantu kepada pengurangan kos pembinaan yang lebih ketara.

“Sebagai contoh, pemaju perumahan kini menanggung kos pematuhan antara 20 hingga 25 peratus yan memberi kesan kepada kenaikan harga rumah.

“Jadi, andai kos berkenaan dapat dikurangkan sekurang-kurangnya lima peratus ditambah dengan SST, ia sudah mampu memberi kesan yang ketara terhadap penurunan kepada harga rumah dijual pemaju,” katanya ketika ditemui di sini, baru-baru ini.

Timbalan Presidennya, Datuk Khor Chap Jen juga berpendapat, kos menjalankan perniagaan dalam pembangunan hartanah semakin meningkat dengan ketara sejak beberapa tahun kebelakangan ini.

“Ia tidak hanya disumbangkan oleh kos pembinaan dan harga tanah yang tinggi, tetapi turut dipengaruhi dengan pelbagai caj pengenalan lain.

“Peningkatan itu memberi tekanan kepada model perniagaan di kalangan pemaju hartanah yang perlu menyediakan peruntukan mencukupi bagi memenuhi permintaan industri,” katanya.

Beliau berkata, terdapat keperluan untuk memastikan satu kajian khusus dilakukan sama ada untuk

mengurangkan atau menghapuskan sebarang caj yang diperlukan bagi tujuan mengurangkan kos membina kediaman yang mana akhirnya ia mampu menawarkan harga rumah lebih mampu milik kepada pembeli.

Sebelum ini, kerajaan bercadang mengurangkan kos pematuhan yang dikenakan ke atas pemaju perumahan dalam usaha meningkatkan lebih banyak pembinaan rumah mampu milik, bermula tahun depan.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Zuraida Kamaruddin dipetik sebagai berkata kos berkenaan akan ditanggung oleh pihak dan syarikat berkaitan utiliti seperti Tenaga Nasional Bhd (TNB), syarikat telekomunikasi dan syarikat air.

Menteri Kewangan, Lim Guan Eng juga sebelum ini memberikan masa kepada pemaju hartanah sehingga hujung bulan Oktober untuk mengurangkan harga rumah.

Katanya, kegagalan berbuat demikian menyebabkan kerajaan akan mengenakan semula Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) ke atas perkhidmatan pembinaan.

Chap Jen berkata, bagi mencapai matlamat itu, usaha bersepadu perlu dilaksanakan dalam memastikan pengurangan dalam beberapa aspek seperti kos pematuhan, keperluan perundangan, subsidi bersilang, peningkatan bahan binaan dan kos buruh, levi, peningkatan caj bangunan dan sebarang kos tidak produktif.

Tambahnya, industri hartanah di Malaysia kini memerlukan perubahan, hala tuju dan perubahan baharu untuk terus memastikan ia kekal lestari serta berdaya saing.

Berdasarkan laporan Jabatan Penilaian dan Perkhidmatan Harta (JPPH) bagi separuh pertama 2018, indeks harga rumah Malaysia berada pada paras 189.5 mata dengan harga purata semua rumah di negara ini sebanyak RM408,774. iaitu peningkatan tahunan sebanyak 1.7 peratus berbanding tempoh sama, tahun lalu.

Bagi tempoh sama, sebanyak 149,889 transaksi harta tanah bernilai RM67.74 bilion direkodkan, menurun berbanding tempoh sama tahun lalu dengan jumlah transaksi 153,526 unit bernilai RM67.83 bilion.

Sumber: BHarian