fbpx

Keselamatan sekolah berasrama perlu lebih tumpuan

LABUAN: Aspek keselamatan dan kesihatan di sekolah berasrama penuh perlu diberi lebih tumpuan kerana pelajar dan kebanyakan guru serta kakitangan sokongan berada di premis terbabit hampir sepanjang masa.

Pengerusi Institut Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan Negara (NIOSH), Tan Sri Lee Lam Thye, berkata keadaan di sekolah berasrama penuh berbeza berbanding sekolah harian di mana pelajarnya pulang ke rumah selepas tamat sesi pembelajaran atau kegiatan kokurikulum.

“Memandangkan besarnya tanggungjawab pihak pengurusan sekolah berasrama penuh ini, saya minta supaya sistem pengurusan keselamatan dan kesihatan pekerjaan (KKP) yang lebih cekap dilaksanakan dalam usaha mencegah kemalangan, kejadian berbahaya dan penyakit,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas melancarkan program KKP di Sekolah di Sekolah Menengah (SM) Sains Labuan di sini, semalam.

Yang turut hadir, Pengurus NIOSH Wilayah Sabah dan Labuan, Wan Sarman Sakan; Presiden Persatuan Alumni SM Sains Labuan (SAMUDERA), Suhaili Dikar dan Penolong Kanan SM Sains Labuan, Mohd Siddiq Abdullah.

Lam Thye berkata, pihak pengurusan sekolah juga perlu menubuhkan Jawatankuasa Keselamatan dan Kesihatan Sekolah dan mengaplikasikan konsep ‘Pengenalan Bahaya, Penilaian Risiko dan Kawalan Risiko’ atau HIRARC.

Beliau berkata, jika HIRARC diamalkan, guru dan pelajar dapat memahami bahawa kegiatan berisiko akan menyebabkan kemalangan sekiranya tidak dikendalikan dengan betul.

“Sekolah berasrama penuh seperti SM Sains Labuan perlu mendapat perhatian lebih kerana pelajar berada di persekitaran sekolah dan asrama selama 24 jam sehari,” katanya

Beliau berkata, mengikut Akta Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (OSHA) 1994, pihak pentadbiran sekolah sebagai majikan seharusnya memikul tanggungjawab memastikan keselamatan, kesihatan dan kebajikan semua pihak di premis mereka sepanjang masa.

Di bawah OSHA 1994, katanya, tanggungjawab majikan juga termasuk mengadakan dasar berkaitan keselamatan dan kesihatan serta memastikan setakat yang praktik bahawa pekerja dan orang lain yang berada di sekitar tempat kerja tidak terdedah kepada risiko keselamatan dan kesihatan.

Katanya, berita kemalangan di sekolah sering dilaporkan termasuk kes tragik menimpa guru dan pelajar seperti terjatuh bangunan, tertimpa tiang gol, kebakaran dan kebocoran gas.

“Pada masa sama, terdapat pelbagai kegiatan yang berisiko kemalangan di sekolah termasuk penggunaan peralatan untuk kimpalan, memotong atau menggerudi serta bahan kimia beracun dan mudah terbakar di makmal sains.

“Sudah tiba masanya analisis bahaya diterapkan dalam setiap kegiatan membabitkan mereka di sekolah termasuk guru, kakitangan sokongan dan pelajar,” katanya.

Sumber: BHarian